Mencari Identiti

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai. Hanya emas yang tetap berkilau. Begitulah kehidupan ini....

Monday, February 27, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN ORANG BADWI

(Jom Kenal Nabi)

“Wahai Nabi, aku datang ini adalah untuk memeluk agama Islam yang engkau bawa” ujar seorang Arab berbangsa Badwi kepada Nabi Muhamad. Kemudian Nabi Muhamad menerima ikrar orang tersebut.

Setelah menerima Islamnya, orang Arab Badwi berkata, “Aku berhajat untuk turut berpindah bersama-sama dengan rombongan mu.” Arab Badwi itu memohon kebenaran untuk mengikut Nabi Muhamad berpindah dari bandar Mekah ke bandar Madinah.

Nabi Muhamad membenarkan orang tersebut mengikuti rombonganya. Beliau mengarahkan beberapa orang sahabat untuk memberi sebarang pertolongan kepada orang yang baru memeluk Islam itu.

Sewaktu berlakunya perang Khaibar, orang Arab keturunan Badwi itu telah ditugaskan untuk menjaga bahagian belakang kumpulan tentera Islam. Pihak lawan ada yang ditawan dan ada juga yang berjaya melarikan diri dengan meninggalkan barangan yang dibawa. Nabi Muhammad mengarahkan semua barangan tersebut dikumpulkan dan diisytihar sebagai harta rampasan perang.

Harta rampasan kemudiannya diagih-agihkan oleh Nabi Muhammad. Beliau membahagikan harta rampasan kepada semua yang terlibat di dalam medan perang tersebut termasuk orang Arab keturunan Badwi.

“Apakah maknanya ini?” soal orang Arab keturunan Badwi kepada sahabat Nabi Muhammad sewaktu pemberian harta rampasan kepada beliau.

“Ini adalah bahagian kamu hasil dari pembahagian harta rampasan. Ia diagih-agihkan oleh Nabi Muhammad” jawab salah seorang sahabat Nabi Muhammad sambil disambut oleh orang Arab keturunan Badwi itu dengan penuh kemusykilan.

Beliau kemudiannya pergi menemui Nabi Muhammad untuk mendapatkan kepastian.

“Wahai Nabi, dari mana datangnya harta ini?” soal orang Badwi kepada Nabi Muhammad.

“Harta ini adalah untuk kamu hasil dari pembahagian harta rampasan perang” jawab Nabi Muhammad.

“Aku tidak berhajat untuk memiliki harta ini,” ujar orang Badwi itu menerangkan hal yang sebenar “aku ikhlas memeluk agama Islam.” Tambahnya lagi, “Aku pergi mengikut mu ke medan perang adalah untuk berjuang menegakkan Islam. Aku sangat berhajat dan mengidamkan untuk mati di medan perjuangan agar aku dapat masuk syurga. Dan tidak terlintas dihati aku untuk memiliki harta seperti ini” jelasnya lagi dengan penuh semangat.

“Sekiranya itu yang kamu inginkan, pasti Allah memperkenankan hajatmu itu,” ulas Nabi Muhammad mengenai hajat orang Badwi tersebut.

Sewaktu perang berada dikemuncaknya, orang Arab keturunan Badwi itu terkorban dibunuh oleh pihak musuh. Orang ramai membawa jenazahnya menemui Nabi Muhammad.

“Apakah ini mayat orang Badwi yang baru memeluk Islam itu?” Tanya Nabi Muhammad kepada para sahabatnya.

“Ya, benar wahai Nabi Muhammad” jawab sahabat-sahabatnya yang membawa mayat itu.

“Orang ini sangat bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam niatnya. Sesungguhnya Allah telah memperkenankan hajatnya itu” Nabi Muhammad menerangkan sifat mayat yang berada dihadapannya kepada para sahabat.

Nabi Muhammad mengkapankan iaitu menyiapkan mayat tersebut sebelum dikebumikan dengan menggunakan jubah iaitu baju yang dipakai oleh beliau. Setelah selesai menyiapkan mayat, Nabi Muhammad pun menunaikan solat jenazah sambil berdoa untuk orang Badwi tersebut yang berbunyi “Ya Allah! Wahai tuhan kami. Sesungguhnya mayat yang berada dihadapanku ini adalah hambamu yang telah mengikut aku perpindah demi untuk mu. Ia telah terkorban dimedan perjuangan menegakkan Islam iaitu syahid dan sesungguhnya akulah yang telah menjadi saksi dalam perjuangannya.”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home