Mencari Identiti

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai. Hanya emas yang tetap berkilau. Begitulah kehidupan ini....

Saturday, November 04, 2006

Doa Solat Dhuha

Ya Allah! Wahai tuhanku!

Sesungguhnya setiap kecantikan itu adalah kecantikan mu,

Setiap keindahan itu adalah keindahan mu,

Setiap kekuatan itu adalah kekuatan mu,

Setiap kekuasaan itu adalah kekuasaan mu

Dan setiap perlindungan itu adalah perlindungan dari mu

Wahai tuhan yang memiliki sekalian alam!

Sekiranya rezeki aku masih di atas langit

maka kau turunkan ia,

Sekiranya masih di dalam perut bumi

maka kau keluarkan ia,

Sekiranya sukar untuk aku memilikinya

Maka kau mudahkan ia

Sekiranya haram

Maka kau sucikan ia,

Sekiranya masih jauh

Maka kau dekatkanlah ia.

Wahai tuhan yang memiliki segala harta di dunia ini!

Atas segala kecantikan, keindahan, kekuatan, kekuasaan dan perlindunganmu,

kau turunkanlah kepada aku

kecantikan, keindahan, kekuatan, kekuasaan dan perlindunganmu

sepertimana yang telah engkau limpahkan

kepada hamba-hamba mu yang lain.

AMIN

Thursday, April 27, 2006

Nabi Muhammad dengan Tawanan Perang

(Jom Kenal Nabi)

Sejarah perpindahan Nabi Muhammad dari bandar Mekah ke bandar Madinah adalah dikira sebagai titik permulaan kepada kebangkitan Islam. Perpindahan ini lebih dikenali sebagai Hijrah. Nabi Muhammad bukan sahaja berpindah secara fizikal, malah beliau berpindah atau beralih kesuatu era yang lebih baik. Pada tahun inilah bermulanya kalendar Islam secara rasmi yang dikenali sebagai tahun Hijrah.

Perang Badar adalah merupakan salah satu petanda kebangkitan Islam setelah perpindahan Nabi Muhammad. Perang Badar ini belaku pada tahun kedua perpindahan Nabi Muhammad dari bandar Mekah ke bandar Madinah. Peperangan Badar adalah melibatkan peperangan antara umat Islam dan kaum yang masih belum memeluk Islam dari bangsa Quraisy yang juga dikenali sebagai Musyrikin Quraisy. Di dalam peperangan ini Nabi Muhammad menjadi panglima perang.

Walaupun memiliki jumlah tentera yang sedikit, namun pihak Islam telah mencapai kemenangan yang amat besar. Terdapat juga beberapa pejuang-pejuang Islam yang gugur di medan perjuangan. Walau bagaimanapun, terdapat lebih ramai tawanan perang yang dapat ditangkap oleh pihak Islam. Mereka membawa tahanan itu mengadap Nabi Muhammad.

“Biar kita ajar mereka semua ini!” Umar memberi cadangan “Kita bunuh sahaja mereka!” tambah Umar dengan nada yang keras.

Kemudian Nabi Muhammad meminta pandangan seorang lagi sahabatnya yang bernama Abu Bakar.

“Wahai Nabi Allah! Pada pandangan saya, kita letakkan harga tebusan pada mereka semua ini sekiranya ingin ditebus oleh saudara-mara mereka.” Jawab Abu Bakar memberi cadangan.

Cadangan Abu Bakar diterima oleh semua pihak Islam. Maka kesan dari itu semua tebusan tidak akan dibunuh. Malah mereka haruslah ditebus sekiranya ingin kembali ke kampung halaman.

Setelah itu, Nabi Muhammad berpesan kepada semua yang ada disitu. Kata beliau “Wahai semua sahabatku! Janganlah kamu menyakiti tawanan perang ini. Mereka juga adalah manusia seperti kamu dan hendaklah kamu berbuat baik terhahap mereka.”

Kemudian Abu Aziz bin Umair menceritakan pengalamannya menjadi tawanan perang orang Islam kepada penduduk bandar Mekah.

Katanya “Aku telah ditawan oleh orang Islam di dalam peperangan Badar namun aku tidak dilayan seperti tawanan perang. Mereka memberi aku makan apa yang mereka makan. Malah ada ketikanya mereka memberi aku makan roti tetapi dalam masa yang sama mereka hanya memakan kurma. Mereka betul-betul mengikuti arahan Nabi Muhammad agar melayan kami sebaik yang mungkin.”

Cerita Abu Aziz itu menjadi bukti kepada keluhuran sifat Nabi Muhammad dan orang Islam dalam melayani kerenah tawanan perang.

Tuesday, April 25, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN PEMBESAR

(Jom kenal Nabi)

Pada peringkat awal perkembangan Islam, masyarakat di bandar Mekah berterusan memberi tentangan dengan mengutuk, menghina dan menyiksa orang-orang yang memasuki agama Islam. Apabila serangan bertubi-tubi itu bertambah hebat, Nabi Muhammad mengizinkan sejumlah 80 orang Islam berhijrah ke sebuah negeri yang terletak di seberang laut Merah. Negeri tersebut diberi nama Habsyah.

Negeri Habsyah diperintah oleh seorang raja yang beragama Kristian. Raja tersebut digelar Najashi iaitu suatu gelaran yang tertinggi bagi seorang raja Habsyah. Walaupun berlainan agama, namun raja ini mempunyai hati yang baik. Beliau telah menerima penghijraan orang-orang Islam dan turut membenarkan mereka tinggal di negerinya.

Setelah melihat sambutan yang baik dari raja Najashi, Nabi Muhammad mengambil keputusan untuk mengirim sepucuk warkah atau surat penghargaan buat kerajaan Habsyah. Surat tersebut kemudiannya dihantar oleh wakil Nabi Muhammad yang bernama Amru bin Umaiyah.

Antara kandungan surat tersebut ialah,

“Dengan Nama Allah Yang Mana Pemurah Lagi Maha Pengasih. Surat ini adalah daripada Muhammad pesuruh Allah dan ditujukan kepada Al Najashi Al-Asham, Raja Habsyah. Selamat Sejahtera keatas kamu.

Sesungguhnya aku memuji Allah yang maha esa dan suci. Aku bersaksi bahawa Nabi Isa itu tercipta dari roh dan kalimah Allah. Kemudian roh itu telah ditiup kepada Maryam yang masih perawan. Maka oleh itu Maryam mengandungkan Nabi Isa seperti yang telah ditetapkan oleh Allah. Allah telah menjadikan Nabi Isa sama sepetimana Nabi Adam dijadikan.

Sesungguhnya aku ingin mengajak kamu dan seluruh penduduk Habsyah supaya bersama-sama beriman dan menyembah Allah yang esa.

Engkau telah menerima baik sepupuku iaitu Jaafar dan semua rombongannya. Engkau mengizinkan mereka untuk menetap di negerimu. Maka oleh itu aku juga telah menyampaikan apa yang patut aku sampaikan. Terimalah seruan aku ini dan selamat sejahtera keatas sesiapa yang menurut perintah Allah.”

Selepas membaca surat itu di hadapan utusan Nabi Muhammad, raja Habsyah itu terus membalasnya. Antara kandungan surat raja Habsyah ialah,

“Dengan Nama Allah Yang Mana Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Surat ini ditulis oleh Al-Najashi Al-Asham bin Abjar. Selamat sejahtera ke atasmu wahai pesuruh Allah. Aku mendoakan semoga tuan diberi rahmat oleh Allah yang telah menurunkan hidayah ke dalam hatiku untuk memeluk Islam.

Sesungguhnya aku telah menerima sepucuk surat daripada tuan yang menceritakan mengenai kejadian Nabi Isa. Dengan Nama Allah! Aku mengakui kebenaran yang telah tuan sampai itu.

Dengan itu aku telahpun berjanji dan bertaat-setia kepadamu melalui sepupumu. Melalui surat ini juga aku berjanji dan bertaat-setia kepadamu. Aku mengakui bahawa tuan adalah pesuruh Allah yang amat benar. Dan aku menyerahkan diriku ini hanya kepada Allah tuhan sekelian alam.

Bersama-sama surat ini aku utuskan anakku Bariha bin Al-Asham Abjar. Maka oleh itu, tiada apa yang aku miliki lagi melainkan diriku. Sekiranya engkau meminta aku datang menemuimu, pasti akan aku tunaikan segera.

Aku bersaksi bahawa apa yang tuan katakan adalah benar semata-mata.”

Selepas mengirimkan surat ini, raja Habsyah secara rasmi menganut agama Islam. Beliau telah membuat pengumuman terbuka dan menyeru rakyatnya untuk bersama menyertai Islam. Beliau juga menyeru rakyatnya untuk mempercayai bahawa Nabi Isa itu adalah anak manusia biasa dan bukannya anak tuhan seperti yang mereka percayai sebelum ini. Seruannya itu disambut oleh rakyatnya.

Pada tahun kesembilan hijrah, Raja Habsyah meninggal dunia. Setelah menerima berita sedih itu, Nabi Muhammad pun melakukan solat jenazah secara jauh dan mendoakan kesejahteraan raja Habsyah.

Friday, April 21, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN WANITA

JOM KENAL NABI

Pada suatu hari, rumah Nabi Muhammad dikunjungi oleh saudara mara perempuannya. Disebabkan Nabi Muhammad sibuk mengajar dan berdakwah, mereka jarang dapat duduk bersama-sama. Mereka mengambil kesempatan ini untuk duduk mengelilingi Nabi Muhammad sambil berbual-bual.

Hubungan mereka dengan Nabi Muhammad sangat akrab. Nabi Muhammad melayan mereka seumpama saudara kandung. Perbualan kaum wanita ini disertai dengan gelak ketawa dan suara yang nyaring.

Tiba-tiba seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Umar datang menziarahi Nabi Muhammad.

“Assalamualaikum !” Umar memberi salam sebelum meminta izin untuk masuk ke dalam. Tatkala kakinya melangkah memasuki rumah, semua saudara perempuan Nabi Muhammad yang berada disitu lari dan menyembunyikan diri. Nabi Muhammad ketawa dan merasa geli hati melihat gelagat saudara perempuannya itu.

“Wahai Nabi, kenapa engkau ketawa?” soal Umar pelik setelah melihat Nabi Muhammad ketawa “Selalunya engkau hanya tersenyum tetapi apakah yang telah membuatkan engkau ketawa?”

Nabi Muhammad menerangkan bahawa beliau merasa geli hati melihat gelagat saudara perempuannya melarikan diri setelah mendengar sapaan Umar. Barulah Umar faham punca sebenar Nabi Muhammad ketawa.

Lalu beliau bertanya kepada kumpulan wanita itu “Kenapa kamu melarikan diri dari aku?”

Wanita-wanita itu hanya tersenyum.

Tambah Umar lagi “Kamu semua berbicara dan gelak ketawa dengan nada yang tinggi. Kemudian kamu lari setelah mendengar suara aku. Apakah kalian lebih takut kepada aku berbanding dengan Nabi Muhammad?”

“Wahai Umar” jawab wanita itu dengan penuh kesopanan “ketahuilah engkau bahawa sesungguhnya kamu itu panas baran. Nabi Muhammad pula adalah seorang yang amat penyabar. Kamu akan cepat berasa marah berbanding Nabi Muhammad. Nabi Muhammad akan menegur kami dengan cara yang paling lembut.”

“Jadi?” tanya Umar.

Tambah wanita itu lagi “Jadi, kami melarikan diri dari kamu kerana kami pasti kau akan memarahi kami.”

Thursday, March 02, 2006

Nabi Muhammad dengan orang yang berbantah-bantah

(Jom Kenal Nabi)

Bandar Mekah terletak lebih kurang 80 kilometer dari pantai. Ia dikelilingi oleh gunung-ganang yang luas terbentang. Pada suatu hari, bandar Mekah mengalami musim hujan dan dilimpahi oleh air yang turun dari gunung-ganang hingga menyebabkan berlakunya banjir besar. Banjir tersebut telah masuk ke dalam kawasan Kaabah iaitu tempat ibadat masyarakat yang tinggal di bandar tersebut. Masyarakat disitu lebih dikenali dengan bangsa atau kaum Quraisy.

Banjir besar itu telah menyebabkan Kaabah mengalami kerosakan. Kaabah adalah berbentuk empat segi sama. Kaum Quraisy bergotong-royong membaiki dinding Kaabah yang telah rosak. Mereka memecahkan dinding yang rosak menggunakan kapak. Kemudian mereka bersama-sama membina dinding baru sebagai ganti menggunakan batu granit yang diambil dari gunung. Namun tidak semua bahagian dinding dapat dipecahkan. Jadi mereka membina tiang baru pada setiap dinding yang tidak dapat dipecahkan itu.

Aktiviti gotong-royong tersebut turut disertai oleh Nabi Muhammad. Beliau bersama-sama dengan kaum Quraisy yang lain mengeluarkan tenaga untuk memperbaiki kerosakan Kaabah. Pada ketika Nabi Muhammad berusia 32 tahun dan masih belum dilantik menjadi Nabi.

Setelah pembaikan sebahagian dinding baru telah siap dibina, kaum Quraisy berbincang bersama-sama mereka untuk meletakkan batu hitam yang lebih dikenali sebagai Hajar Aswad. Batu itu ingin diletakkan disalah satu penjuru Kaabah. Hajar Aswad merupakan sejenis batu yang dikatakan permata berasal dari syurga. Kaum Quraisy akhirnya sebulat suara bersetuju untuk meletakkan Hajar Aswad seperti yang dirancang. Malangnya mereka mula berbantah mengenai siapa yang layak untuk memindahkan batu tersebut.

“Kami yang sepatutnya layak untuk memindahkan batu ini!” jerit salah satu dari kumpulan yang berbantah itu.

“Tidak! Batu ini adalah batu suci! Kami yang lebih layak untuk meletakkannya!” jerit satu kumpulan yang lain “kamu hanya perlu melihat sahaja” tambah kumpulan itu lagi.

Keadaan bertambah tegang apabila kedua-dua pihak saling berbantah dan tidak mahu mengalah. Mereka berkeras untuk diberi penghormatan meletakkan batu itu. Ketegangan itu telah menyebabkan hampir berlakunya pergaduhan antara sesama kaum Quraisy.

Tiba-tiba datang seorang tua yang cerdik dari kalangan mereka bernama Abu Umayyah, “Tunggu! jangan bergaduh!” ujar Abu Umayyah yang berusaha mendamaikan keadaan yang tegang itu. Kaum Quraisy menghormati Abu Umayyah kerana beliau adalah diantara orang yang tertua dan bijak dikalangan kaumnya.

“Wahai Umayyah, apakah yang pakcik mahu?” ujar salah seorang yang bertelingkah.

“Aku ingin mencadangkan,” Abu Umayyah memulakan cadangan “untuk mengelakkan dari pergaduhan maka kita pilih orang yang pertama masuk ke dalam kawasan Kaabah ini sebagai pengadil. Beliau hendaklah menentukan siapakah yang layak memindahkan Hajar Aswad.” Cadangan Abu Umayyah itu dipersetujui oleh orang ramai. Mereka mula menunggu dan menantikan calon yang sesuai untuk memindahkan Hajar Aswad.

Tiba-tiba seorang pemuda masuk ke dalam kawasan Kaabah.

“Hah! Itu dia calon yang dinanti-nantikan!.” Ujar ketua kumpulan.

“Masanya telah tiba untuk kita melantik beliau menjadi hakim” ujar salah seorang dari pemuda yang ada disitu. Kumpulan-kumpulan yang berbantah disitu telah bersetuju untuk melantik pemuda tersebut sebagai hakim. Pemuda tersebut juga adalah merupakan Nabi Muhammad. Dengan itu terlantiklah Nabi Muhammad menjadi hakim kepada pertelingkahan yang terjadi.

Melihat pertelingkahan semakin rancak, Nabi Muhammad bertanya “berikan aku sehelai jubah atau pakaian.”

Kemudian Nabi Muhammad memanggil wakil bagi setiap kumpulan yang berbantah. Beliau mengarahkan setiap wakil yang bertelingkah itu memegang tepi hujung pakaian berkenaan dan menariknya sehingga tegang. Kemudian Nabi Muhammad mengangkat dan memindahkan batu Hajar Aswad ke atas pakaian yang telah di bentagkan tadi. Kumpulan yang memegang tepi pakaian itu membawa Hajar Aswad sehingga ke hujung tempat untuk meletakkan Hajar Aswad. Setelah itu Nabi Muhammad mengangkat batu itu dan meletakkan batu itu di penjuru Kaabah.

Kumpulan-kumpulan yang berbantah itu amat bersetuju dengan keputusan dan tindakan Nabi Muhammad. Mereka menerima keputusan dan arahan Nabi Muhammad itu dengan hati penuh terbuka. Hasil dari itu, perbalahan dapat dielakkan. Dengan keadilan dan kebijaksanaan Nabi Muhammad itu, mereka mula menghormati beliau.

Mereka telah menggelarkan Nabi Muhammad dengan gelaran Al-Amin iaitu sebagai orang yang amat dipercayai

Wednesday, March 01, 2006

Sepetang di pejabat

Sepetang di pejabat......
taki kiralah kolar biru atau kolar putih
 Posted by Picasa

Antara Bos Baru dan Bos Lama

Rombakan pengurusan dan strategi baru ditempat kerja adalah perlu utk memajukan sesebuah syarikat atau organisasi. Namun setiap kali berlaku rombakan, pasti ramai yang mula pening dan membuat pelbagai spekulasi. Ramai yang akan menjadikan ianya sebagai topik utama dipejabat.

Ada antara mereka yang merasakan perlu utk berubah menerima bos baru. Mungkin sebab kareir atau makan gaji......

Dan ada juga yang merasakan tidak sedikit pun tergugat. Mungkin sebab merasakan jawatanya yang tidak berapa tinggi atau malas nak lawan majikan

Dan ada juga yang langsung tak hirau apa nak jadi. Golongan ini kebanyakannya adalah golongan yang jarang ada kat opis. Katanya outstation. Tapi mungkin kat tepi station......

Malah ada juga yang dah mula update resume utk cari kerja baru. Katanya, tak sesuai dengan bos lama. Kenapa yea?


Monday, February 27, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN ORANG JAHILIAH

(Jom Kenal Nabi)

Zaman sebelum terlantiknya Muhammad sebagai Nabi adalah dikenali sebagai zaman jahiliah. Disaat itu aktiviti masyarakat bandar Mekah telah rosak. Mereka menjalankan aktiviti yang melampaui batas-batas kemanusiaan. Hampir kesemua penduduk Bandar Mekah suka menghadiri pesta-pesta yang dipenuhi dengan minuman keras, perempuan-perempuan simpanan, majlis tari menari dan deklamasi syair yang mengasyikkan. Selain dari itu masyarakat bandar Mekah juga menyembah berhala. Mereka memuliakan berhala-berhala yang dibuat dengan tangan mereka sendiri.

Allah memelihara Nabi Muhammad dari segala aktiviti serong yang dilakukan oleh masyarakat Mekah. Nabi Muhammad benci melihat dan menyebut nama patung-patung yang disembah oleh masyarakatnya. Nabi Muhammad tidak akan melayan sebarang perbualan yang dimulakan dengan nama patung yang disembah.

Pernah suatu ketika Nabi Muhammad menyelar pendeta yang memulakan bicara dengan menyebut nama patung yang disembah.

Kata Nabi Muhammad “Wahai pendeta! Janganlah kamu betanya kepada aku dengan nama patung berhala itu. Demi Allah aku amat benci kepada nama-nama patung berhala”.

Sewaktu remaja, Nabi Muhammad bekerja sebagai pengembala kambing. Setiap hari Nabi Muhammad mengembala kambing di kawasan pergunungan yang jauh dari kesibukan bandar Mekah. Dengan cara ini, Nabi Muhammad dapat menghindari diri dari segala kerosakan akidah yang berlaku di bandar Mekah.

Pada suatu hari sedang Nabi Muhammad mengembala kambing, beliau terdengar bunyi riuh-rendah disebuah majlis perkahwinan. Nabi Muhammad memanggil kawannya untuk menjaga seketika kambing-kambing peliharaannya. Beliau ingin melihat majlis perkahwinan yang sedang berlangsung itu.

Sewaktu tiba dikawasan majlis perkahwinan, tiba-tiba Nabi Muhammad berasa sangat mengantuk. Tanpa disedari beliau tertidur di tempat itu juga.

Nabi Muhammad bercerita kepada sahabatnya ”Aku tersedar setelah terkena matahari pagi.”

Nabi Muhammad masih tetap terpelihara dari melakukan segala yang dilakukan oleh kaumnya. Beliau bukan sahaja terhindar dari melakukannya, malah tidak langsung dapat melihat segala kemungkaran yang berlaku.

Sesungguhnya dosa mata itu boleh mengakibatkan sebarang kemungkinan seperti kata pepatah melayu ”Dari mata turun ke hati”.

NABI MUHAMMAD DENGAN ORANG YANG EGOISTIK

(Jom Kenal Nabi)

Abu Jahal adalah merupakan salah seorang yang kaya dan berpengaruh dari kaum Quraisy. Dia mempunyai banyak perniagaan dan harta kekayaan. Ramai orang menjadi pekerja dan pengikutnya. Beliau suka bercakap dengan nada yang keras sambil membangga diri. Beliau suka merendah-rendahkan sifat seseorang terutama mereka yang tidak disukainya.

Abu Jahal tidak suka melihat Nabi Muhammad mengajak dan menyebarkan Islam. Abu Jahal sangat benci dengan Nabi Muhammad. Beliau suka menghina dan mencaci Nabi Muhammad.

Pada suatu petang, seorang pemuda dari luar bandar Mekah telah ditipu oleh Abu Jahal. “Wahai penghuni bandar Mekah!” Jerit seorang pemuda di tengah-tengah bandar Mekah. “Sesungguhnya aku datang ke bandar Mekah untuk berniaga. Semua unta yang aku bawa telah dibeli oleh Abu Jahal” jelas pemuda itu lagi “Namun beliau telah engkar untuk membayar harga kesemua unta yang telah diambil.” Jerit pemuda itu lagi “Siapakah yang dapat membela aku?” tanya pemuda itu kepada orang yang berada sekelilingnya.

Setelah itu datang sekumpulan pemuda menghampiri peniaga yang ditipu oleh Abu Jahal.

“Apakah benar kamu telah ditipu oleh Abu Jahal?” tanya kumpulan pemuda itu.

“Ya, benar.” Jawab peniaga.

“Kami akan memperkenalkan engkau dengan orang yang boleh membela kamu” tambah kumpulan pemuda itu.

“Benarkah? Terima kasih anak muda.Dimanakah dia?” tanya peniaga itu dengan nada yang penuh pengharapan.

Kumpulan pemuda itu mencadangkan peniaga tersebut bertemu dengan Nabi Muhammad. Mereka sengaja ingin melaga-lagakan Nabi Muhammad dengan Abu Jahal. Mereka berharap dapat melihat satu sandiwara antara Abu Jahal dan Nabi Muhammad.

Peniaga yang ditipu itu terus menemui Nabi Muhammad. Beliau menceritakan kisah tipu daya Abu Jahal terhadapnya. Beliau mengharapkan agar Nabi Muhammad dapat menolong beliau mengutip hutang dari Abu Jahal.

Setelah selesai mendengar aduan peniaga tersebut, Nabi Muhammad mengajak beliau berjumpa dengan Abu Jahal. Disaat itu, kumpulan pemuda tadi mengekori dari belakang sambil tersenyum. Mereka menyangka akan terjadi satu pergaduhan antara Abu Jahal dan Nabi Muhammad.

Sewaktu tiba di rumah Abu Jahal, Nabi Muhammad pun mengetuk pintu.

”Siapakah yang mengetuk pintu itu?” jerit Abu Jahal dari dalam rumahnya.

”Aku, Muhammad!” Jawab Nabi Muhammad.

Abu Jahal tersentak. Dia tidak menyangka Nabi Muhammad yang sering dimaki dan dicaci olehnya datang ke rumah. Dia mula rasa gelisah dan panik. Takut kalau Nabi Muhammad ingin membalas dendam. Dalam getar dia menggagahkan diri untuk bertemu Nabi Muhammad.

”Apakah tujuan kau ke mari wahai Muhammad?” tanya Abu Jahal.

”Engkau telah berhutang dengan peniaga ini” tegas Nabi Muhammad.

“Ya,“ jawab Abu Jahal.

”Sekarang kau harus membayar hutang mu!“ tegas Nabi Muhammad dengan penuh sabar.

“Baiklah, aku akan membayarnya“ jawab Abu Jahal dengar nada ketarnya.

Abu Jahal lantas membayar semua jumlah hutangnya.

Sekumpulan pemuda tadi berasa hampa. Mereka gagal melihat sandiwara yang diinginkan. Sesungguhnya mereka hanya berani melakukan kejahatan dibelakang atau dijarak yang jauh. Mereka akan mula panik apabila berhadapan dengan Nabi Muhammad.

NABI MUHAMMAD DENGAN ORANG BADWI

(Jom Kenal Nabi)

“Wahai Nabi, aku datang ini adalah untuk memeluk agama Islam yang engkau bawa” ujar seorang Arab berbangsa Badwi kepada Nabi Muhamad. Kemudian Nabi Muhamad menerima ikrar orang tersebut.

Setelah menerima Islamnya, orang Arab Badwi berkata, “Aku berhajat untuk turut berpindah bersama-sama dengan rombongan mu.” Arab Badwi itu memohon kebenaran untuk mengikut Nabi Muhamad berpindah dari bandar Mekah ke bandar Madinah.

Nabi Muhamad membenarkan orang tersebut mengikuti rombonganya. Beliau mengarahkan beberapa orang sahabat untuk memberi sebarang pertolongan kepada orang yang baru memeluk Islam itu.

Sewaktu berlakunya perang Khaibar, orang Arab keturunan Badwi itu telah ditugaskan untuk menjaga bahagian belakang kumpulan tentera Islam. Pihak lawan ada yang ditawan dan ada juga yang berjaya melarikan diri dengan meninggalkan barangan yang dibawa. Nabi Muhammad mengarahkan semua barangan tersebut dikumpulkan dan diisytihar sebagai harta rampasan perang.

Harta rampasan kemudiannya diagih-agihkan oleh Nabi Muhammad. Beliau membahagikan harta rampasan kepada semua yang terlibat di dalam medan perang tersebut termasuk orang Arab keturunan Badwi.

“Apakah maknanya ini?” soal orang Arab keturunan Badwi kepada sahabat Nabi Muhammad sewaktu pemberian harta rampasan kepada beliau.

“Ini adalah bahagian kamu hasil dari pembahagian harta rampasan. Ia diagih-agihkan oleh Nabi Muhammad” jawab salah seorang sahabat Nabi Muhammad sambil disambut oleh orang Arab keturunan Badwi itu dengan penuh kemusykilan.

Beliau kemudiannya pergi menemui Nabi Muhammad untuk mendapatkan kepastian.

“Wahai Nabi, dari mana datangnya harta ini?” soal orang Badwi kepada Nabi Muhammad.

“Harta ini adalah untuk kamu hasil dari pembahagian harta rampasan perang” jawab Nabi Muhammad.

“Aku tidak berhajat untuk memiliki harta ini,” ujar orang Badwi itu menerangkan hal yang sebenar “aku ikhlas memeluk agama Islam.” Tambahnya lagi, “Aku pergi mengikut mu ke medan perang adalah untuk berjuang menegakkan Islam. Aku sangat berhajat dan mengidamkan untuk mati di medan perjuangan agar aku dapat masuk syurga. Dan tidak terlintas dihati aku untuk memiliki harta seperti ini” jelasnya lagi dengan penuh semangat.

“Sekiranya itu yang kamu inginkan, pasti Allah memperkenankan hajatmu itu,” ulas Nabi Muhammad mengenai hajat orang Badwi tersebut.

Sewaktu perang berada dikemuncaknya, orang Arab keturunan Badwi itu terkorban dibunuh oleh pihak musuh. Orang ramai membawa jenazahnya menemui Nabi Muhammad.

“Apakah ini mayat orang Badwi yang baru memeluk Islam itu?” Tanya Nabi Muhammad kepada para sahabatnya.

“Ya, benar wahai Nabi Muhammad” jawab sahabat-sahabatnya yang membawa mayat itu.

“Orang ini sangat bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam niatnya. Sesungguhnya Allah telah memperkenankan hajatnya itu” Nabi Muhammad menerangkan sifat mayat yang berada dihadapannya kepada para sahabat.

Nabi Muhammad mengkapankan iaitu menyiapkan mayat tersebut sebelum dikebumikan dengan menggunakan jubah iaitu baju yang dipakai oleh beliau. Setelah selesai menyiapkan mayat, Nabi Muhammad pun menunaikan solat jenazah sambil berdoa untuk orang Badwi tersebut yang berbunyi “Ya Allah! Wahai tuhan kami. Sesungguhnya mayat yang berada dihadapanku ini adalah hambamu yang telah mengikut aku perpindah demi untuk mu. Ia telah terkorban dimedan perjuangan menegakkan Islam iaitu syahid dan sesungguhnya akulah yang telah menjadi saksi dalam perjuangannya.”

NABI MUHAMMAD DENGAN KANAK-KANAK LELAKI

(Jom kenal Nabi)

Pada suatu hari dimusim buah, Nabi Muhammad menerima buah-buahan yang banyak dari kaumnya. Ramai orang yang memiliki kebun buah di bandar Mekah memberi Nabi Muhammad sebahagian dari hasil tanaman mereka. Buah-buah itu semuanya sudah masak dan boleh dimakan. Baginda pun memanggil kanak-kanak yang sedang bermain untuk menikmati buah tersebut.

Kanak-kanak itu lantas meninggalkan permainan mereka dan menuju kepada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad pun menjamu kanak-kanak itu dengan buah yang masak ranum. Kegembiraan jelas terbayang diwajah kanak-kanak itu dan Nabi Muhammad merasa puas.

Nabi Muhammad pun mencium kanak-kanak itu untuk melahirkan rasa gembira. Perbuatan beliau itu dilihat oleh salah seorang yang lalu disitu.

Orang itu pun bertanya kepada Nabi Muhammad, ”Aku melihat engkau mencium kanak-kanak itu dengan penuh rasa sayang dan cinta,” tambah orang itu lagi ”aku memiliki 10 orang anak. Namun aku tidak pernah menunjukkan kasih sayang, apalagi untuk mencium mereka. Apakah fadhilatnya wahai Nabi Allah?” tanya orang itu kepada Nabi Muhammad.

Kemudian Nabi Muhammad pun menjawab ”Sesungguhnya perasaan kasih sayang itu datangnya dari Allah. Aku sendiri tidak mampu untuk memberinya kepadamu. Pohonlah kamu kepada Allah supaya Dia tidak mencabut perasaan kasih sayang itu dari hatimu.” Terang Nabi Muhammad dengan lemah lembut.

Orang itu pun mula berazam untuk menyayangi anak-anaknya. Dia takut sekiranya Allah mencabut perasaan kasih sayang itu dari hatinya. Dia juga takut tidak sempat untuk mencium anak-anaknya. Lantas, dia berlari untuk pulang kerumah mendapatkan anak-anaknya.