Mencari Identiti

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai. Hanya emas yang tetap berkilau. Begitulah kehidupan ini....

Tuesday, April 25, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN PEMBESAR

(Jom kenal Nabi)

Pada peringkat awal perkembangan Islam, masyarakat di bandar Mekah berterusan memberi tentangan dengan mengutuk, menghina dan menyiksa orang-orang yang memasuki agama Islam. Apabila serangan bertubi-tubi itu bertambah hebat, Nabi Muhammad mengizinkan sejumlah 80 orang Islam berhijrah ke sebuah negeri yang terletak di seberang laut Merah. Negeri tersebut diberi nama Habsyah.

Negeri Habsyah diperintah oleh seorang raja yang beragama Kristian. Raja tersebut digelar Najashi iaitu suatu gelaran yang tertinggi bagi seorang raja Habsyah. Walaupun berlainan agama, namun raja ini mempunyai hati yang baik. Beliau telah menerima penghijraan orang-orang Islam dan turut membenarkan mereka tinggal di negerinya.

Setelah melihat sambutan yang baik dari raja Najashi, Nabi Muhammad mengambil keputusan untuk mengirim sepucuk warkah atau surat penghargaan buat kerajaan Habsyah. Surat tersebut kemudiannya dihantar oleh wakil Nabi Muhammad yang bernama Amru bin Umaiyah.

Antara kandungan surat tersebut ialah,

“Dengan Nama Allah Yang Mana Pemurah Lagi Maha Pengasih. Surat ini adalah daripada Muhammad pesuruh Allah dan ditujukan kepada Al Najashi Al-Asham, Raja Habsyah. Selamat Sejahtera keatas kamu.

Sesungguhnya aku memuji Allah yang maha esa dan suci. Aku bersaksi bahawa Nabi Isa itu tercipta dari roh dan kalimah Allah. Kemudian roh itu telah ditiup kepada Maryam yang masih perawan. Maka oleh itu Maryam mengandungkan Nabi Isa seperti yang telah ditetapkan oleh Allah. Allah telah menjadikan Nabi Isa sama sepetimana Nabi Adam dijadikan.

Sesungguhnya aku ingin mengajak kamu dan seluruh penduduk Habsyah supaya bersama-sama beriman dan menyembah Allah yang esa.

Engkau telah menerima baik sepupuku iaitu Jaafar dan semua rombongannya. Engkau mengizinkan mereka untuk menetap di negerimu. Maka oleh itu aku juga telah menyampaikan apa yang patut aku sampaikan. Terimalah seruan aku ini dan selamat sejahtera keatas sesiapa yang menurut perintah Allah.”

Selepas membaca surat itu di hadapan utusan Nabi Muhammad, raja Habsyah itu terus membalasnya. Antara kandungan surat raja Habsyah ialah,

“Dengan Nama Allah Yang Mana Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Surat ini ditulis oleh Al-Najashi Al-Asham bin Abjar. Selamat sejahtera ke atasmu wahai pesuruh Allah. Aku mendoakan semoga tuan diberi rahmat oleh Allah yang telah menurunkan hidayah ke dalam hatiku untuk memeluk Islam.

Sesungguhnya aku telah menerima sepucuk surat daripada tuan yang menceritakan mengenai kejadian Nabi Isa. Dengan Nama Allah! Aku mengakui kebenaran yang telah tuan sampai itu.

Dengan itu aku telahpun berjanji dan bertaat-setia kepadamu melalui sepupumu. Melalui surat ini juga aku berjanji dan bertaat-setia kepadamu. Aku mengakui bahawa tuan adalah pesuruh Allah yang amat benar. Dan aku menyerahkan diriku ini hanya kepada Allah tuhan sekelian alam.

Bersama-sama surat ini aku utuskan anakku Bariha bin Al-Asham Abjar. Maka oleh itu, tiada apa yang aku miliki lagi melainkan diriku. Sekiranya engkau meminta aku datang menemuimu, pasti akan aku tunaikan segera.

Aku bersaksi bahawa apa yang tuan katakan adalah benar semata-mata.”

Selepas mengirimkan surat ini, raja Habsyah secara rasmi menganut agama Islam. Beliau telah membuat pengumuman terbuka dan menyeru rakyatnya untuk bersama menyertai Islam. Beliau juga menyeru rakyatnya untuk mempercayai bahawa Nabi Isa itu adalah anak manusia biasa dan bukannya anak tuhan seperti yang mereka percayai sebelum ini. Seruannya itu disambut oleh rakyatnya.

Pada tahun kesembilan hijrah, Raja Habsyah meninggal dunia. Setelah menerima berita sedih itu, Nabi Muhammad pun melakukan solat jenazah secara jauh dan mendoakan kesejahteraan raja Habsyah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home