Mencari Identiti

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai. Hanya emas yang tetap berkilau. Begitulah kehidupan ini....

Monday, February 27, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN ORANG JAHILIAH

(Jom Kenal Nabi)

Zaman sebelum terlantiknya Muhammad sebagai Nabi adalah dikenali sebagai zaman jahiliah. Disaat itu aktiviti masyarakat bandar Mekah telah rosak. Mereka menjalankan aktiviti yang melampaui batas-batas kemanusiaan. Hampir kesemua penduduk Bandar Mekah suka menghadiri pesta-pesta yang dipenuhi dengan minuman keras, perempuan-perempuan simpanan, majlis tari menari dan deklamasi syair yang mengasyikkan. Selain dari itu masyarakat bandar Mekah juga menyembah berhala. Mereka memuliakan berhala-berhala yang dibuat dengan tangan mereka sendiri.

Allah memelihara Nabi Muhammad dari segala aktiviti serong yang dilakukan oleh masyarakat Mekah. Nabi Muhammad benci melihat dan menyebut nama patung-patung yang disembah oleh masyarakatnya. Nabi Muhammad tidak akan melayan sebarang perbualan yang dimulakan dengan nama patung yang disembah.

Pernah suatu ketika Nabi Muhammad menyelar pendeta yang memulakan bicara dengan menyebut nama patung yang disembah.

Kata Nabi Muhammad “Wahai pendeta! Janganlah kamu betanya kepada aku dengan nama patung berhala itu. Demi Allah aku amat benci kepada nama-nama patung berhala”.

Sewaktu remaja, Nabi Muhammad bekerja sebagai pengembala kambing. Setiap hari Nabi Muhammad mengembala kambing di kawasan pergunungan yang jauh dari kesibukan bandar Mekah. Dengan cara ini, Nabi Muhammad dapat menghindari diri dari segala kerosakan akidah yang berlaku di bandar Mekah.

Pada suatu hari sedang Nabi Muhammad mengembala kambing, beliau terdengar bunyi riuh-rendah disebuah majlis perkahwinan. Nabi Muhammad memanggil kawannya untuk menjaga seketika kambing-kambing peliharaannya. Beliau ingin melihat majlis perkahwinan yang sedang berlangsung itu.

Sewaktu tiba dikawasan majlis perkahwinan, tiba-tiba Nabi Muhammad berasa sangat mengantuk. Tanpa disedari beliau tertidur di tempat itu juga.

Nabi Muhammad bercerita kepada sahabatnya ”Aku tersedar setelah terkena matahari pagi.”

Nabi Muhammad masih tetap terpelihara dari melakukan segala yang dilakukan oleh kaumnya. Beliau bukan sahaja terhindar dari melakukannya, malah tidak langsung dapat melihat segala kemungkaran yang berlaku.

Sesungguhnya dosa mata itu boleh mengakibatkan sebarang kemungkinan seperti kata pepatah melayu ”Dari mata turun ke hati”.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home