Mencari Identiti

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai. Hanya emas yang tetap berkilau. Begitulah kehidupan ini....

Thursday, April 27, 2006

Nabi Muhammad dengan Tawanan Perang

(Jom Kenal Nabi)

Sejarah perpindahan Nabi Muhammad dari bandar Mekah ke bandar Madinah adalah dikira sebagai titik permulaan kepada kebangkitan Islam. Perpindahan ini lebih dikenali sebagai Hijrah. Nabi Muhammad bukan sahaja berpindah secara fizikal, malah beliau berpindah atau beralih kesuatu era yang lebih baik. Pada tahun inilah bermulanya kalendar Islam secara rasmi yang dikenali sebagai tahun Hijrah.

Perang Badar adalah merupakan salah satu petanda kebangkitan Islam setelah perpindahan Nabi Muhammad. Perang Badar ini belaku pada tahun kedua perpindahan Nabi Muhammad dari bandar Mekah ke bandar Madinah. Peperangan Badar adalah melibatkan peperangan antara umat Islam dan kaum yang masih belum memeluk Islam dari bangsa Quraisy yang juga dikenali sebagai Musyrikin Quraisy. Di dalam peperangan ini Nabi Muhammad menjadi panglima perang.

Walaupun memiliki jumlah tentera yang sedikit, namun pihak Islam telah mencapai kemenangan yang amat besar. Terdapat juga beberapa pejuang-pejuang Islam yang gugur di medan perjuangan. Walau bagaimanapun, terdapat lebih ramai tawanan perang yang dapat ditangkap oleh pihak Islam. Mereka membawa tahanan itu mengadap Nabi Muhammad.

“Biar kita ajar mereka semua ini!” Umar memberi cadangan “Kita bunuh sahaja mereka!” tambah Umar dengan nada yang keras.

Kemudian Nabi Muhammad meminta pandangan seorang lagi sahabatnya yang bernama Abu Bakar.

“Wahai Nabi Allah! Pada pandangan saya, kita letakkan harga tebusan pada mereka semua ini sekiranya ingin ditebus oleh saudara-mara mereka.” Jawab Abu Bakar memberi cadangan.

Cadangan Abu Bakar diterima oleh semua pihak Islam. Maka kesan dari itu semua tebusan tidak akan dibunuh. Malah mereka haruslah ditebus sekiranya ingin kembali ke kampung halaman.

Setelah itu, Nabi Muhammad berpesan kepada semua yang ada disitu. Kata beliau “Wahai semua sahabatku! Janganlah kamu menyakiti tawanan perang ini. Mereka juga adalah manusia seperti kamu dan hendaklah kamu berbuat baik terhahap mereka.”

Kemudian Abu Aziz bin Umair menceritakan pengalamannya menjadi tawanan perang orang Islam kepada penduduk bandar Mekah.

Katanya “Aku telah ditawan oleh orang Islam di dalam peperangan Badar namun aku tidak dilayan seperti tawanan perang. Mereka memberi aku makan apa yang mereka makan. Malah ada ketikanya mereka memberi aku makan roti tetapi dalam masa yang sama mereka hanya memakan kurma. Mereka betul-betul mengikuti arahan Nabi Muhammad agar melayan kami sebaik yang mungkin.”

Cerita Abu Aziz itu menjadi bukti kepada keluhuran sifat Nabi Muhammad dan orang Islam dalam melayani kerenah tawanan perang.

Tuesday, April 25, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN PEMBESAR

(Jom kenal Nabi)

Pada peringkat awal perkembangan Islam, masyarakat di bandar Mekah berterusan memberi tentangan dengan mengutuk, menghina dan menyiksa orang-orang yang memasuki agama Islam. Apabila serangan bertubi-tubi itu bertambah hebat, Nabi Muhammad mengizinkan sejumlah 80 orang Islam berhijrah ke sebuah negeri yang terletak di seberang laut Merah. Negeri tersebut diberi nama Habsyah.

Negeri Habsyah diperintah oleh seorang raja yang beragama Kristian. Raja tersebut digelar Najashi iaitu suatu gelaran yang tertinggi bagi seorang raja Habsyah. Walaupun berlainan agama, namun raja ini mempunyai hati yang baik. Beliau telah menerima penghijraan orang-orang Islam dan turut membenarkan mereka tinggal di negerinya.

Setelah melihat sambutan yang baik dari raja Najashi, Nabi Muhammad mengambil keputusan untuk mengirim sepucuk warkah atau surat penghargaan buat kerajaan Habsyah. Surat tersebut kemudiannya dihantar oleh wakil Nabi Muhammad yang bernama Amru bin Umaiyah.

Antara kandungan surat tersebut ialah,

“Dengan Nama Allah Yang Mana Pemurah Lagi Maha Pengasih. Surat ini adalah daripada Muhammad pesuruh Allah dan ditujukan kepada Al Najashi Al-Asham, Raja Habsyah. Selamat Sejahtera keatas kamu.

Sesungguhnya aku memuji Allah yang maha esa dan suci. Aku bersaksi bahawa Nabi Isa itu tercipta dari roh dan kalimah Allah. Kemudian roh itu telah ditiup kepada Maryam yang masih perawan. Maka oleh itu Maryam mengandungkan Nabi Isa seperti yang telah ditetapkan oleh Allah. Allah telah menjadikan Nabi Isa sama sepetimana Nabi Adam dijadikan.

Sesungguhnya aku ingin mengajak kamu dan seluruh penduduk Habsyah supaya bersama-sama beriman dan menyembah Allah yang esa.

Engkau telah menerima baik sepupuku iaitu Jaafar dan semua rombongannya. Engkau mengizinkan mereka untuk menetap di negerimu. Maka oleh itu aku juga telah menyampaikan apa yang patut aku sampaikan. Terimalah seruan aku ini dan selamat sejahtera keatas sesiapa yang menurut perintah Allah.”

Selepas membaca surat itu di hadapan utusan Nabi Muhammad, raja Habsyah itu terus membalasnya. Antara kandungan surat raja Habsyah ialah,

“Dengan Nama Allah Yang Mana Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Surat ini ditulis oleh Al-Najashi Al-Asham bin Abjar. Selamat sejahtera ke atasmu wahai pesuruh Allah. Aku mendoakan semoga tuan diberi rahmat oleh Allah yang telah menurunkan hidayah ke dalam hatiku untuk memeluk Islam.

Sesungguhnya aku telah menerima sepucuk surat daripada tuan yang menceritakan mengenai kejadian Nabi Isa. Dengan Nama Allah! Aku mengakui kebenaran yang telah tuan sampai itu.

Dengan itu aku telahpun berjanji dan bertaat-setia kepadamu melalui sepupumu. Melalui surat ini juga aku berjanji dan bertaat-setia kepadamu. Aku mengakui bahawa tuan adalah pesuruh Allah yang amat benar. Dan aku menyerahkan diriku ini hanya kepada Allah tuhan sekelian alam.

Bersama-sama surat ini aku utuskan anakku Bariha bin Al-Asham Abjar. Maka oleh itu, tiada apa yang aku miliki lagi melainkan diriku. Sekiranya engkau meminta aku datang menemuimu, pasti akan aku tunaikan segera.

Aku bersaksi bahawa apa yang tuan katakan adalah benar semata-mata.”

Selepas mengirimkan surat ini, raja Habsyah secara rasmi menganut agama Islam. Beliau telah membuat pengumuman terbuka dan menyeru rakyatnya untuk bersama menyertai Islam. Beliau juga menyeru rakyatnya untuk mempercayai bahawa Nabi Isa itu adalah anak manusia biasa dan bukannya anak tuhan seperti yang mereka percayai sebelum ini. Seruannya itu disambut oleh rakyatnya.

Pada tahun kesembilan hijrah, Raja Habsyah meninggal dunia. Setelah menerima berita sedih itu, Nabi Muhammad pun melakukan solat jenazah secara jauh dan mendoakan kesejahteraan raja Habsyah.

Friday, April 21, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN WANITA

JOM KENAL NABI

Pada suatu hari, rumah Nabi Muhammad dikunjungi oleh saudara mara perempuannya. Disebabkan Nabi Muhammad sibuk mengajar dan berdakwah, mereka jarang dapat duduk bersama-sama. Mereka mengambil kesempatan ini untuk duduk mengelilingi Nabi Muhammad sambil berbual-bual.

Hubungan mereka dengan Nabi Muhammad sangat akrab. Nabi Muhammad melayan mereka seumpama saudara kandung. Perbualan kaum wanita ini disertai dengan gelak ketawa dan suara yang nyaring.

Tiba-tiba seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Umar datang menziarahi Nabi Muhammad.

“Assalamualaikum !” Umar memberi salam sebelum meminta izin untuk masuk ke dalam. Tatkala kakinya melangkah memasuki rumah, semua saudara perempuan Nabi Muhammad yang berada disitu lari dan menyembunyikan diri. Nabi Muhammad ketawa dan merasa geli hati melihat gelagat saudara perempuannya itu.

“Wahai Nabi, kenapa engkau ketawa?” soal Umar pelik setelah melihat Nabi Muhammad ketawa “Selalunya engkau hanya tersenyum tetapi apakah yang telah membuatkan engkau ketawa?”

Nabi Muhammad menerangkan bahawa beliau merasa geli hati melihat gelagat saudara perempuannya melarikan diri setelah mendengar sapaan Umar. Barulah Umar faham punca sebenar Nabi Muhammad ketawa.

Lalu beliau bertanya kepada kumpulan wanita itu “Kenapa kamu melarikan diri dari aku?”

Wanita-wanita itu hanya tersenyum.

Tambah Umar lagi “Kamu semua berbicara dan gelak ketawa dengan nada yang tinggi. Kemudian kamu lari setelah mendengar suara aku. Apakah kalian lebih takut kepada aku berbanding dengan Nabi Muhammad?”

“Wahai Umar” jawab wanita itu dengan penuh kesopanan “ketahuilah engkau bahawa sesungguhnya kamu itu panas baran. Nabi Muhammad pula adalah seorang yang amat penyabar. Kamu akan cepat berasa marah berbanding Nabi Muhammad. Nabi Muhammad akan menegur kami dengan cara yang paling lembut.”

“Jadi?” tanya Umar.

Tambah wanita itu lagi “Jadi, kami melarikan diri dari kamu kerana kami pasti kau akan memarahi kami.”