Mencari Identiti

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai. Hanya emas yang tetap berkilau. Begitulah kehidupan ini....

Thursday, April 27, 2006

Nabi Muhammad dengan Tawanan Perang

(Jom Kenal Nabi)

Sejarah perpindahan Nabi Muhammad dari bandar Mekah ke bandar Madinah adalah dikira sebagai titik permulaan kepada kebangkitan Islam. Perpindahan ini lebih dikenali sebagai Hijrah. Nabi Muhammad bukan sahaja berpindah secara fizikal, malah beliau berpindah atau beralih kesuatu era yang lebih baik. Pada tahun inilah bermulanya kalendar Islam secara rasmi yang dikenali sebagai tahun Hijrah.

Perang Badar adalah merupakan salah satu petanda kebangkitan Islam setelah perpindahan Nabi Muhammad. Perang Badar ini belaku pada tahun kedua perpindahan Nabi Muhammad dari bandar Mekah ke bandar Madinah. Peperangan Badar adalah melibatkan peperangan antara umat Islam dan kaum yang masih belum memeluk Islam dari bangsa Quraisy yang juga dikenali sebagai Musyrikin Quraisy. Di dalam peperangan ini Nabi Muhammad menjadi panglima perang.

Walaupun memiliki jumlah tentera yang sedikit, namun pihak Islam telah mencapai kemenangan yang amat besar. Terdapat juga beberapa pejuang-pejuang Islam yang gugur di medan perjuangan. Walau bagaimanapun, terdapat lebih ramai tawanan perang yang dapat ditangkap oleh pihak Islam. Mereka membawa tahanan itu mengadap Nabi Muhammad.

“Biar kita ajar mereka semua ini!” Umar memberi cadangan “Kita bunuh sahaja mereka!” tambah Umar dengan nada yang keras.

Kemudian Nabi Muhammad meminta pandangan seorang lagi sahabatnya yang bernama Abu Bakar.

“Wahai Nabi Allah! Pada pandangan saya, kita letakkan harga tebusan pada mereka semua ini sekiranya ingin ditebus oleh saudara-mara mereka.” Jawab Abu Bakar memberi cadangan.

Cadangan Abu Bakar diterima oleh semua pihak Islam. Maka kesan dari itu semua tebusan tidak akan dibunuh. Malah mereka haruslah ditebus sekiranya ingin kembali ke kampung halaman.

Setelah itu, Nabi Muhammad berpesan kepada semua yang ada disitu. Kata beliau “Wahai semua sahabatku! Janganlah kamu menyakiti tawanan perang ini. Mereka juga adalah manusia seperti kamu dan hendaklah kamu berbuat baik terhahap mereka.”

Kemudian Abu Aziz bin Umair menceritakan pengalamannya menjadi tawanan perang orang Islam kepada penduduk bandar Mekah.

Katanya “Aku telah ditawan oleh orang Islam di dalam peperangan Badar namun aku tidak dilayan seperti tawanan perang. Mereka memberi aku makan apa yang mereka makan. Malah ada ketikanya mereka memberi aku makan roti tetapi dalam masa yang sama mereka hanya memakan kurma. Mereka betul-betul mengikuti arahan Nabi Muhammad agar melayan kami sebaik yang mungkin.”

Cerita Abu Aziz itu menjadi bukti kepada keluhuran sifat Nabi Muhammad dan orang Islam dalam melayani kerenah tawanan perang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home