Mencari Identiti

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai. Hanya emas yang tetap berkilau. Begitulah kehidupan ini....

Thursday, December 29, 2005

MENGEMBALIKAN KESTABILAN MATAWANG: EMAS SEBAGAI ASAS


MENGEMBALIKAN KESTABILAN MATAWANG: EMAS SEBAGAI ASAS
 
Oleh    : Balqis Sulaiman
Tarikh : 11 Mar 2004, 2:50 am
Dipetik dari laman web Dewan Muslimat PAS Pusat (http://www.parti-pas.org/muslimat/kolumnis_read.php?id=10)


Pengenalan

Krisis ekonomi yang melanda negara pada akhir tahun 90-an masih lagi terasa kesannya. Desas-desus yang mengunjuk kepada penyangak matawang sebagai punca kejatuhan bukan lagi satu spekulasi tetapi adalah satu kenyataan yang harus ditelan sebagai hakikat yang memilukan. Ini menampakkan betapa rapuhnya sistem matawang fiat (wang kertas) yang berasaskan Dollar US yang digunapakai sekarang.

Begitupun, setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya. Dalam kekalutan negara kita dan negara-negara Asia lain menangani permasalahan ini, telah timbul satu gagasan untuk mengembalikan sistem kewangan berasaskan emas yang dikenali sebagai ‘dinar emas’. Meskipun sistem tersebut hanya akan digunapakai untuk urusan perdagangan antarabangsa di kalangan negara-negara Islam OIC, namun ianya boleh dijadikan titik tolak kepada penggunaan emas sebagai asas sistem kewangan untuk dagangan antarabangsa dengan negara-negara lain dan seterusnya untuk kegunaan domestik.

Dinar emas disarankan sebagai satu mekanisma penyelesaian dagangan antarabangsa di antara negara-negara Islam kerana nilai emas adalah lebih stabil dan tidak berubah-ubah dalam jangka masa yang panjang jika dibandingkan dengan matawang fiat. Peter L. Bernstein menulis bahawa pada Mac 1997, sebelum Robert Mundell mengetahui bahawa beliau akan memenangi hadiah nobel, beliau telah mengandaikan bahawa emas akan menjadi sebahagian daripada sistem kewangan antarabangsa didalam abad ke 21 (Meera dan Abdul Aziz, 2002, 152).

Jika dilihat dari perspektif Islam, syariah sendiri telah meletakkan emas dan perak di tempat yang utama di dalam sistem kewangannya. Ini adalah kerana kedua-duanya dianggap logam berharga dan mempunyai fungsi yang terbaik sebagai alat pertukaran, pengukur nilai dan kekayaan. Islam juga telah mensyaratkan agar setaip matawang yang sah haruslah diperbuat dari emas dan perak untuk memastikan kestabilan sistem kewangan atas nilai intrinsik keduanya. Justeru beberapa hukum seperti penetapan bayaran diyah, zakat dan transaksi keseluruhan disandarkan kepada nilai kedua-dua logam tersebut (Sanusi, 2002, 73).

Wang, dari kacamata Islam, melarang sorokan iaitu menurunkan nilai emas dan menggunakannya untuk tujuan selain daripada pengantaraan (naqd shar’i). Ditekankan bahawa wang mestilah beredar secara produktif dalam masyarakat dan pelaburan didalam aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti spekulasi dan perjudian adalah dilarang sama sekali (Sanusi, 2002, 73).

Pada zaman Rasulullah S.A.W., wang yang dinilaikan dalam nilai emas dan perak dikenali sebagai Dinar dan Dirham (Perkataan dinar dan dirham ada disebut didalam Al-Quran surah Al-Imran ayat 75 dan surah Yusuf ayat 20). Islam percaya bahawa sistem ekonomi berlandaskan prinsip yang menyimpan nilai kepada emas dan syiling perak sebagai asas eksklusif untuk transaksi dapat mengawal harga barangan dan seterusnya menyelamatkan komuniti Islam dari keadaan sistem kewangan yang tidak stabil dan kemusnahan ekonomi.

Wang fiat sangat berbeza daripada wang sebenar. Kestabilannya bergantung kepada kekuatan ekonomi, sistem kewangan dan polisi fiskal dalam sesebuah kerajaan yang menyokongnya. Penawaran wang fiat boleh dipertingkatkan secara bebas di bawah pasaran wang fiat yang berasaskan kadar faedah. Perlaksanaannya sebagai penyimpan nilai dan satu standad pengiraan sangatlah rendah. Namun kepentingan sebagai satu unit pengiraan menjadi penting dalam kebanyakan masalah ekonomi dan juga sosio-politik dan moral masa kini.

Sejarah Dinar Emas dan Pemikiran Al-Magrizi, salah seorang ahli fikir ekonomi Islam (Rosly dan Barakat, 2002, 124-137)

Menyingkap sejarah, seorang ahli ekonomi Islam yang lebih dikenali sebagai Al-Maqrizi telah membuat kajian di dalam sejarah Islam berkaitan dengan ekonomi dan sistem kewangan. Pengalaman beliau dalam menguruskan pasar dagangan dan hal-ehwal saudagar-saudagar di Damascus selama 10 tahun di bawah pemerintahan Sultan Barkuk telah melahirkan ide ekonomi Al-Maqrizi. Ide ini menjerumus kepada soal wang dan inflasi serta menganalisa krisis ekonomi yang dikaitkan dengan kuasa pasaran dan peranan ekonomi di dalam negeri.

Beliau juga telah memberi penjelasan bahawa penggunaan wang fulus (wang yang dibuat daripada koper) berbanding dinar dan dirham di penghujung era kerajaan Mamluk adalah disebabkan kekurangan perak (dirham) yang dibawa keluar akibat daripada dagangan antarabangsa yang menjadikannya sebagai bayaran dan barang hiasan. Keadaan menjadi semakin buruk apabila kerajaan telah menyimpan emas dan menghadkan jumlah emas sebagai dinar.

Apabila dinar dan dirham berkurangan, aktiviti ekonomi menurun kerana orang ramai menghadapi kekurangan wang untuk menjalankan transaksi harian. Bagi mengatasi masalah ini kerajaan telah mengimpot koper untuk dijadikan fulus kerana ianya murah dan terdapat dalam kuantiti yang banyak. Menurutnya lagi koper telah dibawa masuk oleh pedagang Eropah Barat kepada kerajaan Egypt dan membawa pulang perak sebagai ganti.

Apabila Sultan Barkuk mangkat pada tahun 801 Hijrah, harga barang telah meningkat naik dalam beberapa peringkat. Peringkat pertama (801 – 805 H) menyaksikan harga yang meningkat dengan cepat manakala peringkat seterusnya (806 – 814 H) ekonomi Egypt dilanda haiperinflasi. Keadaan ini berterusan shingga beberapa tahun kemudiannya.

Bagi memulihkan keadaan ini, Al-Maqrizi telah menyarankan reformasi kewangan kepada Sultan Muayyad di mana baginda telah memperkenalkan semula matawang dirham perak. Malangnya suasana ekonomi terlalu lembap sehingga ke akhir pemerintahannya. Bagaimanapun, ide reformasi kewangan ini telah dibukukan di dalam keempat-empat buku tulisan beliau iaitu Iqahathat al-Ummah bi-kash al-ghummah, Al-suluk li-Ma’rifat dawal al-Muluk, Shotur al-‘ugood fi thiker al-Nuque dan Al-Mawa’iz wa-al-‘Itbar bi-dhikr wa-la-Athar. Antara lain reformasi kewangan ini menekankan penggunaan semula emas dan perak sebagai matawang; penggunaan asas yang lain tidak dibenarkan dan mesti dihentikan; zakat hendaklah dibayar dengan matawang sebenar dan penggunaan fulus hanyalah untuk memenuhi keperluan tempatan, jualan dan belian yang murah seperti makanan dan kegunaan harian.


Kesan Mengabaikan Emas Sebagai Asas Nilai Matawang

Emas sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada sistem kewangan antarabangsa untuk berabad lamanya sehingga jatuhnya sistem Bretton Woods dalam tahun 1971. Ini bermakna bank pusat sesebuah negara mengamalkan kebebasan untuk mencipta wang kertas (wang fiat) dengan tidak menggunakan nilai emas sebagai asas kepada penciptaan wang. Walaupun beberapa buah negara Islam seperti Sudan masih menggunakan nama ‘dinar’ sebagai matawang negaranya tetapi hakikatnya hanyalah pada nama dan bukan dinar yang berasaskan nilai emas.

Pelbagai masalah telah menimpa pasaran kewangan sejak standad emas tidak lagi digunapakai. Keadaan ini terbukti dengan beberapa krisis kewangan yang berlaku akibat daripada pengabaian emas sebagai asas matawang. Faktor-faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku adalah kerana penciptaan wang yang terlalu mudah dan tiada peraturan ke atas aktiviti hedging. Apabila kebanyakan ahli ekonomi menyerapkan standad emas pada tahun 1870, wang hanya dicipta apabila simpanan emas mencukupi. Apabila wang dicipta berasaskan komoditi seperti emas, orang ramai beranggapan bahawa menyimpan wang sama seperti menyimpan emas. Tetapi sistem kewangan dunia telah menukar emas dengan Dollar US di Bretton Woods dan membenarkan kadar pertukaran mengikut keadaan pasaran dalam tahun 1973. Ini telah membenarkan penciptaan wang serta membolehkan peningkatkan penawaran wang tanpa meningkatkan simpanan emas.

Apabila wang berlebihan di pasaran hasil daripada penciptaan wang fiat oleh bank pusat, inflasi atau penurunan nilai wang fiat sebagai satu unit pengiraan berlaku dan ini mendatangkan mudarat kepada sistem ekonomi. Setiap variasi unit pengiraan akan memberi kesan kepada proses pengiraan dan mendatangkan ketidakseimbangan di dalam ekonomi. Justeru adalah penting untuk menggunakan pengiraan yang stabil dan boleh dipercayai sebagai satu unit pengiraan. Walaupun tiada satu unit standad pengukur kekayaan yang sempurna sehingga kini, tetapi adalah perlu untuk menguatkan satu unit pengiraan yang standard yang dapat digunapakai oleh setiap ekonomi. Dalam hal ini dinar adalah satu asas yang paling kukuh sebagai pengukur unit pengiraan kerana kestabilannya dan tidak memerlukan satu pengukuran untuk mengukur darjah keseimbangannya.

Sejarah telah membuktikan kestabilan harga emas. Dalam tahun 1813 harga emas di pasaran England telah naik dari 3.17 Pound Sterling per aun kepada 5.10 Pound Sterling per aun, diikuti pula dengan inflasi secara keseluruhan (Brue, 2000). Pada ketika itu seorang ahli ekonomi bernama David Ricardo mempunyai transaksi dengan Bank England dalam jumlah yang besar (Brue, 2000, 113 & 114). Menurut Ricardo, Bank England telah mencetak wang kertas secara berlebihan. Mencetak dan meminjamkan wang kertas adalah menguntungkan kerajaan tetapi cara ini telah meninggikan penawaran wang dan akan meningkatkan harga komoditi termasuk emas serta menurunkan nilai matawang. Menurutnya lagi, masalah yang dihadapi ketika itu bukanlah harga emas yang mahal tetapi kejatuhan nilai Pound Sterling. Dengan kata lain, untuk membeli emas memerlukan jumlah pound sterling yang banyak. Ricardo kemudiannya mencadangkan agar sistem kewangan semasa berbalik semula kepada standad emas. Ricardo juga mengulas bahawa apa yang telah berlaku adalah nilai wang kertas yang mengubah nilai emas dan bukannya emas itu sendiri yang berubah nilai. Dengan kata lain, satu aun emas masih dapat membeli barang yang banyak pada satu masa tetapi wang fiat yang mewakili satu aun emas cuma dapat membeli sedikit sahaja barang akibat inflasi. Dalam tahun 1821 bank England telah meluluskan undang-undang yang mana emas dijadikan asas matawang dan digunakan sehingga satu abad kemudian.

Biasanya apabila berlaku krisis kewangan, jumlah wang yang terlalu banyak atau terlalu sedikit di pasaran akan dipersalahkan. Ironinya kuasa penciptaan wang adalah terletak kepada sesebuah negara yang mana bank pusat diberi kebebasan untuk mencipta wang. Seperti kata Thomas Jefferson, institusi bank adalah lebih merbahaya kepada kebebasan pengguna dari angkatan tentera musuh. Penciptaan wang sepatutnya tidak dibenarkan berada di dalam tangan bank pusat (Sauful Azhar Rosly, The Islamic Dinar, Investors’ Digest, Feb. 2002).

Jika dilihat kepada standad emas, sesebuah negara bersetuju untuk mendefinasikan unit kewangan dengan jumlah fisikal emas tulin. Contohnya satu Dollar US boleh membeli 1/20 aun emas dan satu Pound Sterling pula boleh membeli ΒΌ aun emas. Bank pusat sepatutnya mencipta wang untuk jumlah emas yang ada. Ini bermakna penawaran wang sesebuah negara bergantung kepada simpanan emas. Nisbah stok wang dan simpanan emas juga boleh dikira. Contohnya dalam tahun 1879 dan 1913, stok Dollar U.S. adalah 8.5 lebih besar dari stok emas. Sekiranya penawaran emas terus tetap, ini akan meningkatkan keseimbangan jangka panjang di dalam stok kewangan , nilai sebenar, harga dan kadar pertukaran asing.

Bagaimanapun, dalam tahun 1971 Presiden Nixon telah menutup pintu kepada emas. Ketika itu Amerika Syarikat memerlukan wang yang banyak untuk membiayai perang dengan Vietnam. Adalah mustahil simpanan emas Amerika Syarikat cukup untuk berbuat demikian. Oleh itu Amerika Syarikat telah mencetak wang dengan banyak tanpa berbalik kepada standad emas.

Sekumpulan ahli ekonomi dari Universiti Chicago yang diketuai oleh Milton Friedman telah mengakui bahawa stagflasi yang melanda kebanyakan negara di dunia pada tahun 1970-an adalah berpunca dari kelemahan polisi kewangan (wang fiat). Beliau mengandaikan bahawa Great Depression yang berlaku pada tahun 1930-an juga disebabkan oleh polisi kewangan (Tek Ann, 97).


Kajian Empirikal

Bagi membuktikan bahawa emas tetap mengekalkan kestabilannya hingga kini, beberapa kajian kestabilan nilai emas berbanding matawang fiat telah dijalankan. Salah satu daripada kajian-kajian tersebut adalah kajian oleh sekumpulan pensyarah yang dianggotai oleh Dr. Hafiz Majdi Abd. Rashid (Universiti Islam Antarabangsa) selaku ketua (Hafiz, 2002, 296), Dodik Siswantoro (Universiti Indonesia) dan John A. Brozovsky (State University). Kajian ini menggunakan model perakaunan dalam membandingkan kestabilan harga emas dengan Dollar US. Dollar US dipilih kerana ianya adalah matawang yang digunapakai oleh dunia buat masa ini. Tiga proksi asas matawang emas dibandingkan dengan tiga lagi proksi asas matawang fiat bermula dari Julai 1997 hingga Disember 2001.

Ujian pertama telah membandingkan harga emas dan Dollar US dengan matawang asas seperti Euro untuk beberapa tahun. Ujian yang serupa kemudian diulang dengan membandingkan harga emas dan Dollar US dengan matawang asas yang lain seperti Yen Jepun dan Pound sterling. Ujian dianalisa dengan coefficient of variation yang mana mengukur perubahan standad (standard deviation) yang berkait dengan taburan nilai min daripada beberapa ujian yang dibuat. Ujian pertama telah mendapati bahawa harga emas adalah lebih stabil berbanding Dollar US manakala daripada ujian seterusnya mereka mendapati harga emas adalah lebih stabil dari semua matawang fiat yang lain (Hafiz, 2002).

Kajian ini diteruskan oleh Rosnah (2003) yang menguji harga emas dengan matawang asas iaitu Euro, Yen dan Pound Sterling. Dalam kajian ini, Dollar US dijadikan perantaraan perbandingan tersebut. Ini bermakna harga emas dalam Dollar US dibandingkan dengan nilai Euro dalam Dollar US, nilai Yen dalam Dollar US dan nilai Pound Sterling dalam Dollar US. Data yang diambil adalah dari Januari 1995 hingga Februari 2002.

Hasil kajian ini juga mendapati bahawa nilai emas berada dalam keadaan yang lebih stabil iaitu pada kadar variasi 0.01133 (sila rujuk jadual 1) berbanding kadar variasi yang lebih tinggi oleh matawang lain pada tahun 1995. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan ketidak stabilan kepada nilai emas dan semua matawang. Walau bagaimanapun ini bukanlah disebabkan oleh perubahan yang mendadak kepada nilai emas dan matawang lainnya tetapi perubahan mendadak kepada nilai Dollar US yang menjadi perantara kepada emas dan matawang lainnya dalam kajian ini. Perlu diingat bahawa tahun 1996 adalah permulaan bagi krisis ekonomi yang teruk yang melanda seluruh dunia amnya dan negara-negara Asia khususnya. Dan ini membuatkan tahun 1996 dan seterusnya adalahmerupakan tahun-tahun yang kurang baik untuk membuat kajian tentang nilai matawang.

Jadual 1: Keputusan perbandingan koefisen variasi bagi nilai matawang dalam Dollar US
dan nilai emas dalam Dollar US dari tahun 1995 hingga 2002.
Tahun Pound Euro Yen Emas
1995 0.014821 0.023795 0.074766 0.01133
1996 0.032101 0.012375 0.026087 0.05459
1997 0.018678 0.032255 0.038554 0.05866
1998 0.013637 0.035899 0.064935 0.024163
1999 0.014836 0.037798 0.068182 0.060476
2000 0.045317 0.054792 0.021505 0.034239
2001 0.016528 0.029139 0.027439 0.030656
2002 0.041411 0.056302 0.05 0.04667

Semua fakta sejarah dan kajian empirikal yang telah diketengahkan hanyalah sebahagian daripada bukti yang menyokong kestabilan emas dan kesesuaiannya sebagai asas kepada sistem kewangan semasa. Setakat ini, dunia telah menggunakan tiga sistem kewangan iaitu sistem pertukaran tetap sehingga tahun 1929, sistem peg yang boleh diubah dari tahun 1944 hingga tahun 1971 dan sistem pertukaran terapung dari tahun 1973 hingga sekarang (Iqbal, 2002). Namun emas masih juga menjadi alternatif terbaik sebagai asas sistem kewangan. Ini adalah kerana emas adalah aset simpanan yang teguh dan unik iaitu no man’s liability lantas ianya tidak dipengaruhi secara langsung oleh polisi ekonomi dalam sesebuah negara (www.gold council.com). Emas juga menyimpan nilai yang sebenar dalam kuasa jual beli untuk jangka masa yang panjang, justeru ianya sangat sesuai dijadikan rizab bagi Bank Pusat.

Rujukan:

1. Adi Sasono, 2002, “Promoting Trade Within Asian Countries”, Ikatan Cendikiawan Muslim Se Indonesia.

2. Ahamed Kameel Mydin Meera (Assoc. Prof. Dr.), 2002, “Gold Dinar in Multilateral Trades”, UIAM.

3. Ahamed Kameel Mydin Meera dan Hassanuddeen Abdul Aziz, 2002, “The Islamic Gold Dinar: Socio-economic Perspective”.

4. Aman Raja haji Ahmad (Dato’ Seri), 2002, “The Role of Commercial Banks in Facilitating the use of Gold Dinar in Multilateral Trades”, Affin Bank Berhad.

5. Aziuddin Ahmad (Dr.), 2002, “Legal Infrastructure for the Implementation of Gold Dinar”, Sapura Holdings Sdn. Bhd.

6. Habib Ahmed, 2002, “Money and Exchange Rate in Islamic Economy”.

7. Hafiz majdi Ab. Rashid, Dodik Siswantoro dan John A. Brozovsky, 2002, “The Stability of Gold Dinar and Accounting Implication: An Impirical Study”.

8. Hifzur Rab, 2002, “Problems Created by the Fiat Money, Islamic Dinar and Other Available Alternatives”.

9. Jalalullail Othman, 2002, “The Legal and Regulatory Infrastructure in Malaysia for the Implementation of Dinar as a Trading Currency”, Shook Lin & Bok Advocates & Solicitors.

10. Llyod B. Thomas, 1997, Money, Banking and Financial Markets.

11. Mahathir Mohamed (Dato’ Seri Dr.), 2002, “Speech by The Prime Minister at the Gold Dinar in Multilateral Trade Seminar”, IKIM.

12. Mahmood M. Sanusi, 2001, “Gold Dinar, Paper Currency and Monetary Stability: An Islamic View”, IIUM Law Journal, Vol 9 No. 2.

13. Michael P. Todaro, 2000, Economic Development, Eight Edition.

14. Mohammad Kabir Hassan (Dr.) dan Masudul Alam Choudhury (Dr.), 2002, “Micro-Money and Real Economic Relationship in the 100 Per Cent Reserve Requirement Monetary System”.

15. Mohd. Ma’sum Billah, 2002, “Possibility, Political and Regulatory Issue of Introducing the Islamic Dinar”.

16. Muhammad Anwar, 2002, “Euro and Gold Dinar: A Comparative Study of Currency Unions”.

17. Nor Mohamed Yakcop (Tan Sri Dato’), 2002, “The Role of Central banks in the Implementation of the Gold Dinar Proposal”.

18. Philippe Delhaise, 1998, Asia in Crisis.

19. Rosnah Mohd. Sham, 2003, “Dinar Emas vs. Wang Fiat dalam Perdagangan Antarabangsa di Kalangan Negara – Negara Islam OIC”, UPM.

20. Sukandar Abdul Latif, 2002, “Promoting Trade with Asian and Middle-Eastern Countries”, MATRADE.

21. Saiful Azhar Rosly dan Emad Rafiq barakat, 2002, “The Economic Thought of Al-Maqrizi: The Role of the Dinar and Dirham as Money”.

22. Stanley L. Brue, 2000, The Evolution of Economic Thought, Sixth Edition.

23. Umar Ibrahim vadillo, 2002, “The Architechture of the Gold Dinar Economy: An Academic Perspective”

24. Zakaria A. Bawary, 2002, “Interest and Loan Free International Trade Import & Exports Through R.M.U.”.

25. www.gold council.com

Wednesday, December 28, 2005

Antara Emas dan kertas

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut.
Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai.
Hanya emas yang tetap berkilau.