Mencari Identiti

Pencarian harta emas atau pendirian yang utuh menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya matawang kertas itu tidak bernilai. Hanya emas yang tetap berkilau. Begitulah kehidupan ini....

Monday, February 27, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN ORANG JAHILIAH

(Jom Kenal Nabi)

Zaman sebelum terlantiknya Muhammad sebagai Nabi adalah dikenali sebagai zaman jahiliah. Disaat itu aktiviti masyarakat bandar Mekah telah rosak. Mereka menjalankan aktiviti yang melampaui batas-batas kemanusiaan. Hampir kesemua penduduk Bandar Mekah suka menghadiri pesta-pesta yang dipenuhi dengan minuman keras, perempuan-perempuan simpanan, majlis tari menari dan deklamasi syair yang mengasyikkan. Selain dari itu masyarakat bandar Mekah juga menyembah berhala. Mereka memuliakan berhala-berhala yang dibuat dengan tangan mereka sendiri.

Allah memelihara Nabi Muhammad dari segala aktiviti serong yang dilakukan oleh masyarakat Mekah. Nabi Muhammad benci melihat dan menyebut nama patung-patung yang disembah oleh masyarakatnya. Nabi Muhammad tidak akan melayan sebarang perbualan yang dimulakan dengan nama patung yang disembah.

Pernah suatu ketika Nabi Muhammad menyelar pendeta yang memulakan bicara dengan menyebut nama patung yang disembah.

Kata Nabi Muhammad “Wahai pendeta! Janganlah kamu betanya kepada aku dengan nama patung berhala itu. Demi Allah aku amat benci kepada nama-nama patung berhala”.

Sewaktu remaja, Nabi Muhammad bekerja sebagai pengembala kambing. Setiap hari Nabi Muhammad mengembala kambing di kawasan pergunungan yang jauh dari kesibukan bandar Mekah. Dengan cara ini, Nabi Muhammad dapat menghindari diri dari segala kerosakan akidah yang berlaku di bandar Mekah.

Pada suatu hari sedang Nabi Muhammad mengembala kambing, beliau terdengar bunyi riuh-rendah disebuah majlis perkahwinan. Nabi Muhammad memanggil kawannya untuk menjaga seketika kambing-kambing peliharaannya. Beliau ingin melihat majlis perkahwinan yang sedang berlangsung itu.

Sewaktu tiba dikawasan majlis perkahwinan, tiba-tiba Nabi Muhammad berasa sangat mengantuk. Tanpa disedari beliau tertidur di tempat itu juga.

Nabi Muhammad bercerita kepada sahabatnya ”Aku tersedar setelah terkena matahari pagi.”

Nabi Muhammad masih tetap terpelihara dari melakukan segala yang dilakukan oleh kaumnya. Beliau bukan sahaja terhindar dari melakukannya, malah tidak langsung dapat melihat segala kemungkaran yang berlaku.

Sesungguhnya dosa mata itu boleh mengakibatkan sebarang kemungkinan seperti kata pepatah melayu ”Dari mata turun ke hati”.

NABI MUHAMMAD DENGAN ORANG YANG EGOISTIK

(Jom Kenal Nabi)

Abu Jahal adalah merupakan salah seorang yang kaya dan berpengaruh dari kaum Quraisy. Dia mempunyai banyak perniagaan dan harta kekayaan. Ramai orang menjadi pekerja dan pengikutnya. Beliau suka bercakap dengan nada yang keras sambil membangga diri. Beliau suka merendah-rendahkan sifat seseorang terutama mereka yang tidak disukainya.

Abu Jahal tidak suka melihat Nabi Muhammad mengajak dan menyebarkan Islam. Abu Jahal sangat benci dengan Nabi Muhammad. Beliau suka menghina dan mencaci Nabi Muhammad.

Pada suatu petang, seorang pemuda dari luar bandar Mekah telah ditipu oleh Abu Jahal. “Wahai penghuni bandar Mekah!” Jerit seorang pemuda di tengah-tengah bandar Mekah. “Sesungguhnya aku datang ke bandar Mekah untuk berniaga. Semua unta yang aku bawa telah dibeli oleh Abu Jahal” jelas pemuda itu lagi “Namun beliau telah engkar untuk membayar harga kesemua unta yang telah diambil.” Jerit pemuda itu lagi “Siapakah yang dapat membela aku?” tanya pemuda itu kepada orang yang berada sekelilingnya.

Setelah itu datang sekumpulan pemuda menghampiri peniaga yang ditipu oleh Abu Jahal.

“Apakah benar kamu telah ditipu oleh Abu Jahal?” tanya kumpulan pemuda itu.

“Ya, benar.” Jawab peniaga.

“Kami akan memperkenalkan engkau dengan orang yang boleh membela kamu” tambah kumpulan pemuda itu.

“Benarkah? Terima kasih anak muda.Dimanakah dia?” tanya peniaga itu dengan nada yang penuh pengharapan.

Kumpulan pemuda itu mencadangkan peniaga tersebut bertemu dengan Nabi Muhammad. Mereka sengaja ingin melaga-lagakan Nabi Muhammad dengan Abu Jahal. Mereka berharap dapat melihat satu sandiwara antara Abu Jahal dan Nabi Muhammad.

Peniaga yang ditipu itu terus menemui Nabi Muhammad. Beliau menceritakan kisah tipu daya Abu Jahal terhadapnya. Beliau mengharapkan agar Nabi Muhammad dapat menolong beliau mengutip hutang dari Abu Jahal.

Setelah selesai mendengar aduan peniaga tersebut, Nabi Muhammad mengajak beliau berjumpa dengan Abu Jahal. Disaat itu, kumpulan pemuda tadi mengekori dari belakang sambil tersenyum. Mereka menyangka akan terjadi satu pergaduhan antara Abu Jahal dan Nabi Muhammad.

Sewaktu tiba di rumah Abu Jahal, Nabi Muhammad pun mengetuk pintu.

”Siapakah yang mengetuk pintu itu?” jerit Abu Jahal dari dalam rumahnya.

”Aku, Muhammad!” Jawab Nabi Muhammad.

Abu Jahal tersentak. Dia tidak menyangka Nabi Muhammad yang sering dimaki dan dicaci olehnya datang ke rumah. Dia mula rasa gelisah dan panik. Takut kalau Nabi Muhammad ingin membalas dendam. Dalam getar dia menggagahkan diri untuk bertemu Nabi Muhammad.

”Apakah tujuan kau ke mari wahai Muhammad?” tanya Abu Jahal.

”Engkau telah berhutang dengan peniaga ini” tegas Nabi Muhammad.

“Ya,“ jawab Abu Jahal.

”Sekarang kau harus membayar hutang mu!“ tegas Nabi Muhammad dengan penuh sabar.

“Baiklah, aku akan membayarnya“ jawab Abu Jahal dengar nada ketarnya.

Abu Jahal lantas membayar semua jumlah hutangnya.

Sekumpulan pemuda tadi berasa hampa. Mereka gagal melihat sandiwara yang diinginkan. Sesungguhnya mereka hanya berani melakukan kejahatan dibelakang atau dijarak yang jauh. Mereka akan mula panik apabila berhadapan dengan Nabi Muhammad.

NABI MUHAMMAD DENGAN ORANG BADWI

(Jom Kenal Nabi)

“Wahai Nabi, aku datang ini adalah untuk memeluk agama Islam yang engkau bawa” ujar seorang Arab berbangsa Badwi kepada Nabi Muhamad. Kemudian Nabi Muhamad menerima ikrar orang tersebut.

Setelah menerima Islamnya, orang Arab Badwi berkata, “Aku berhajat untuk turut berpindah bersama-sama dengan rombongan mu.” Arab Badwi itu memohon kebenaran untuk mengikut Nabi Muhamad berpindah dari bandar Mekah ke bandar Madinah.

Nabi Muhamad membenarkan orang tersebut mengikuti rombonganya. Beliau mengarahkan beberapa orang sahabat untuk memberi sebarang pertolongan kepada orang yang baru memeluk Islam itu.

Sewaktu berlakunya perang Khaibar, orang Arab keturunan Badwi itu telah ditugaskan untuk menjaga bahagian belakang kumpulan tentera Islam. Pihak lawan ada yang ditawan dan ada juga yang berjaya melarikan diri dengan meninggalkan barangan yang dibawa. Nabi Muhammad mengarahkan semua barangan tersebut dikumpulkan dan diisytihar sebagai harta rampasan perang.

Harta rampasan kemudiannya diagih-agihkan oleh Nabi Muhammad. Beliau membahagikan harta rampasan kepada semua yang terlibat di dalam medan perang tersebut termasuk orang Arab keturunan Badwi.

“Apakah maknanya ini?” soal orang Arab keturunan Badwi kepada sahabat Nabi Muhammad sewaktu pemberian harta rampasan kepada beliau.

“Ini adalah bahagian kamu hasil dari pembahagian harta rampasan. Ia diagih-agihkan oleh Nabi Muhammad” jawab salah seorang sahabat Nabi Muhammad sambil disambut oleh orang Arab keturunan Badwi itu dengan penuh kemusykilan.

Beliau kemudiannya pergi menemui Nabi Muhammad untuk mendapatkan kepastian.

“Wahai Nabi, dari mana datangnya harta ini?” soal orang Badwi kepada Nabi Muhammad.

“Harta ini adalah untuk kamu hasil dari pembahagian harta rampasan perang” jawab Nabi Muhammad.

“Aku tidak berhajat untuk memiliki harta ini,” ujar orang Badwi itu menerangkan hal yang sebenar “aku ikhlas memeluk agama Islam.” Tambahnya lagi, “Aku pergi mengikut mu ke medan perang adalah untuk berjuang menegakkan Islam. Aku sangat berhajat dan mengidamkan untuk mati di medan perjuangan agar aku dapat masuk syurga. Dan tidak terlintas dihati aku untuk memiliki harta seperti ini” jelasnya lagi dengan penuh semangat.

“Sekiranya itu yang kamu inginkan, pasti Allah memperkenankan hajatmu itu,” ulas Nabi Muhammad mengenai hajat orang Badwi tersebut.

Sewaktu perang berada dikemuncaknya, orang Arab keturunan Badwi itu terkorban dibunuh oleh pihak musuh. Orang ramai membawa jenazahnya menemui Nabi Muhammad.

“Apakah ini mayat orang Badwi yang baru memeluk Islam itu?” Tanya Nabi Muhammad kepada para sahabatnya.

“Ya, benar wahai Nabi Muhammad” jawab sahabat-sahabatnya yang membawa mayat itu.

“Orang ini sangat bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam niatnya. Sesungguhnya Allah telah memperkenankan hajatnya itu” Nabi Muhammad menerangkan sifat mayat yang berada dihadapannya kepada para sahabat.

Nabi Muhammad mengkapankan iaitu menyiapkan mayat tersebut sebelum dikebumikan dengan menggunakan jubah iaitu baju yang dipakai oleh beliau. Setelah selesai menyiapkan mayat, Nabi Muhammad pun menunaikan solat jenazah sambil berdoa untuk orang Badwi tersebut yang berbunyi “Ya Allah! Wahai tuhan kami. Sesungguhnya mayat yang berada dihadapanku ini adalah hambamu yang telah mengikut aku perpindah demi untuk mu. Ia telah terkorban dimedan perjuangan menegakkan Islam iaitu syahid dan sesungguhnya akulah yang telah menjadi saksi dalam perjuangannya.”

NABI MUHAMMAD DENGAN KANAK-KANAK LELAKI

(Jom kenal Nabi)

Pada suatu hari dimusim buah, Nabi Muhammad menerima buah-buahan yang banyak dari kaumnya. Ramai orang yang memiliki kebun buah di bandar Mekah memberi Nabi Muhammad sebahagian dari hasil tanaman mereka. Buah-buah itu semuanya sudah masak dan boleh dimakan. Baginda pun memanggil kanak-kanak yang sedang bermain untuk menikmati buah tersebut.

Kanak-kanak itu lantas meninggalkan permainan mereka dan menuju kepada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad pun menjamu kanak-kanak itu dengan buah yang masak ranum. Kegembiraan jelas terbayang diwajah kanak-kanak itu dan Nabi Muhammad merasa puas.

Nabi Muhammad pun mencium kanak-kanak itu untuk melahirkan rasa gembira. Perbuatan beliau itu dilihat oleh salah seorang yang lalu disitu.

Orang itu pun bertanya kepada Nabi Muhammad, ”Aku melihat engkau mencium kanak-kanak itu dengan penuh rasa sayang dan cinta,” tambah orang itu lagi ”aku memiliki 10 orang anak. Namun aku tidak pernah menunjukkan kasih sayang, apalagi untuk mencium mereka. Apakah fadhilatnya wahai Nabi Allah?” tanya orang itu kepada Nabi Muhammad.

Kemudian Nabi Muhammad pun menjawab ”Sesungguhnya perasaan kasih sayang itu datangnya dari Allah. Aku sendiri tidak mampu untuk memberinya kepadamu. Pohonlah kamu kepada Allah supaya Dia tidak mencabut perasaan kasih sayang itu dari hatimu.” Terang Nabi Muhammad dengan lemah lembut.

Orang itu pun mula berazam untuk menyayangi anak-anaknya. Dia takut sekiranya Allah mencabut perasaan kasih sayang itu dari hatinya. Dia juga takut tidak sempat untuk mencium anak-anaknya. Lantas, dia berlari untuk pulang kerumah mendapatkan anak-anaknya.

Sunday, February 26, 2006

NABI MUHAMMAD DENGAN BINATANG

Jom kenal Nabi

Pada suatu petang yang indah Nabi Muhammad menyertai sahabat-sahabatnya berjalan dibandar Mekah. Setelah penat berjalan, mereka pun singgah disuatu tempat untuk berehat. Sedang berehat dan berbual, tiba-tiba mereka terlihat satu sarang burung yang berada tidak jauh dari situ. Di dalam sarang tersebut terdapat seekor burung yang sedang bertelur.

Mereka asyik merenung gelagat burung yang sedang bertelur itu. Kemudian datang seorang lelaki mengambil telur yang berada di dalam sarang itu. Melihat perkara yang tersebut, burung itupun berasa marah. Dia melaga-lagakan sayap sambil mengigitnya.

Kemudian Nabi Muhammad memanggil orang yang mengambil telur dan bertanya kenapakah dia mengambil telur itu.

“Wahai Nabi, memang benar akulah yang telah mengambil telur burung itu” kata orang itu dengan jujur menjawab persoalan Nabi Muhammad

“Pulangkan semula telur yang telah kamu ambil itu ke tempat asalnya” Nabi Muhammad mengarahkan orang itu untuk meletakkan kembali telur tesebut ke tempat asal.

“Baiklah.” Jawab orang itu dengan penuh rasa kesal.

Kemudian datang pula sekumpulan lelaki dengan membawa anak-anak burung. Anak-anak burung itu dibungkus menggunakan sehelai kain. Nabi Muhammad pun bertanya kepada mereka mengenai anak-anak burung itu.

Mereka menjawab “Kami terdengar suara bising yang datangnya dari dalam semak,” tambah mereka lagi “lalu kami pun pergi mendapatkan suara itu. Kami dapati suara tersebut adalah dari anak-anak burung ini. Kami pun mengambilnya.” Cerita orang itu dengan bersungguh-sungguh.

Mereka menambah lagi dengan berkata “Setelah kami ambil anak-anak burung itu, kami diserang oleh ibunya.“

Nabi Muhammad pun mengarahkan orang itu meletakkan kembali anak-anak burung itu ke tempat asalnya. Kemudian Nabi Muhamad menasihati orang yang berada disekelilingnya dengan berkata “Wahai sahabatku, ketahuilah kamu sesungguhnya semua binatang itu tidak dapat berkata-kata. Hendaklah engkau semua takut kepada Allah sewaktu berinteraksi dengan binatang.”